Cari nota kuliah

Google

Monday, March 10, 2008

Kisah batu Besar & Kehidupan

Pada suatu hari, Profesor Najmi memberikan syarahan mengenai pengurusan masa kepada pelajar-pelajarnya dalam jurusan sains kemanusiaan. Selepas 45 minit, beliau berhenti sebentar sambil bergerak ke meja di bahagian hadapan dewan kuliah dan mengambil satu bekas kaca lut sinar daripada dalam laci meja. “Hari ini saya bercadang untuk mengadakan pop kuiz. Anda semua perlu bersedia sekarang. Simpan semua nota dan kosongkan meja,” jelas Profesor Najmi sambil mengeluarkan satu bekas berisi batu-batu besar daripada dalam begnya. Kemudiannya, batu-batu besar itu diisikan ke dalam bekas kaca satu demi satu sehingga penuh. Selepas itu beliau melihat semua pelajar di hadapannya sambil bertanya, “Adakah bekas ini sudah penuh?” beliau memerhati setiap pelajar yang ada di dalam dewan kuliah itu.


Pelajar-pelajarnya serentak menjawab, “Ya.” Profesor Najmi tersenyum. “Betulkah begitu?” Kemudian, beliau mengeluarkan satu lagi bekas berisi batu-batu kecil daripada dalam begnya. Batu-batu kecil itu dimasukkan ke dalam bekas kaca tadi. Profesor Najmi menggoyang-goyangkan bekas kaca itu agar semua batu-batu kecil yang dimasukkan dapat turun ke bahagian bawah mengisi ruang-ruang kosong di antara batu-batu besar. Selepas semua ruang-ruang kosong antara batu-batu besar dipenuhi dengan batu-batu kecil, Profesor Najmi bertanya lagi, “Baiklah. Sekarang saya sudah mengisi ruang-ruang kosong itu dengan batu-batu kecil. Adakah bekas ini sudah penuh?” Beliau sekali lagi memandang wajah pelajar-pelajar di hadapannya sambil tersenyum.


Kali ini semua pelajar- pelajarnya terdiam. Wajah mereka menzahirkan rasa ragu-ragu. Lidah mereka kelu untuk menjawab. Tiba-tiba seorang daripada mereka menjawab dengan suara yang perlahan dan penuh kesangsian, “mungkin tidak.” Profesor Najmi tersenyum simpul. “Baiklah.” Beliau mencapai semula begnya dan mengeluarkan satu bekas plastik berisi pasir. Pasir itu dituang ke dalam bekas kaca yang berisi batu besar dan batu-batu kecil. Pasir yang dituang perlahan-lahan mengisi ruang-ruang kosong yang masih ada di antara batu besar dan batu-batu kecil. Sekali lagi beliau bertanya kepada pelajar-pelajarnya, “Bagaimana sekarang? Adakah bekas ini sudah penuh?”


Kali ini tanpa ragu-ragu lagi, semua pelajar menyahut, “Belum.” Senyuman Profesor Najmi semakin lebar. “Bagus, bagus.” Beliau mencapai begnya dan mengeluarkan sebotol air mineral dan kemudiannya menuangkan air itu ke dalam bekas kaca itu. Air yang dituang meresap ke dalam pasir dan seterusnya mengisi ruang-ruang kosong yang masih ada antara pasir, batu besar dan batu-batu kecil. “Baiklah, sekarang siapa yang boleh jelaskan kepada saya, apakah makna di sebalik aktiviti yang kita lakukan tadi?” soal Profesor Najmi kepada pelajar-pelajarnya.


Seorang pelajar yang duduk di kerusi hadapan mengangkat tangan dan berkata, “Pengajaran di sebalik apa yang kita lihat tadi adalah mengenai semangat kita. Tidak kira betapa sibuk dan padatnya jadual harian kita, sekiranya kita cekal, tabah dan bersemangat untuk melakukannya maka pasti kita mampu melakukannya. Malaysia Boleh!” Jawapan daripada pelajar ini diikuti dengan tepukan daripada rakan-rakannya yang lain.


Profesor Najmi tertawa kecil. “Bagus, bagus. Namun, bukan jawapan itu yang saya mahukan. Jawapannya yang sebenar adalah, jika kita tidak memasukkan batu-batu besar terlebih dahulu maka kita tidak akan mampu untuk memasukkan semuanya.”


Renungan


Apa yang dimaksudkan dengan batu-batu besar dalam hidup kita? Rakan-rakan, teman karib, ibu bapa, pelajaran, pasangan hidup, hal-hal penting dalam hidup, mengajar sesuatu kepada orang lain, melakukan aktiviti dan pekerjaan yang kita minati, masa yang ada, kesihatan ataupun semua yang penting dan berharga bagi kita.


Ingatlah untuk sentiasa memasukkan batu-batu besar ini dalam hidup kita ataupun kita akan kehilangan semuanya semata-mata kerana batu-batu kecil yang kita utamakan. Apabila kita mendahulukan batu-batu kecil, maka hidup kita dipenuhi dengan perkara-perkara kecil yang tidak penting. Kesannya, kita kehilangan ruang, peluang dan masa bagi mengisi hidup ini dengan hal-hal besar yang jauh lebih penting bagi diri kita. Oleh itu, pastikan setiap kali anda bangun pada waktu pagi, cubalah kenangkan semula 'batu-batu besar' dalam hidup anda dan berikan ruang untuknya terlebih dahulu sebelum anda lihat batu-batu kecil, pasir ataupun air.


Source: http://ikrampts.blogspot.com/

No comments: